Tuesday, July 20, 2010

..Tenang, tegang, silih berganti...

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t...


Air laut ada ketikanya tenang, ada masa geloranya bisa menghancurkan. Air sungai yang mengalir jernih boleh jadi tiba-tiba menjadi keruh dengan arus yang deras secara tiba-tiba. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa juga bisa bertukar ganas menumbangkan pepohonan. Bumi yang berputar tenangpun bisa bergegar dan menenggelamkan isi perutnya. Unsur-unsur alam ini menjadi tanda bahawa ketenangan dan ketegangan itu sentiasa silih berganti. Itu adalah satu aturan Tuhan yang cukup menakjubkan.

Begitu juga dengan manusia. Kita punya hati yang sentiasa berbolak-balik. Ada kala kita merasa bahagia, aman, tenteram dan tenang. Siapa tahu, tiba-tiba hati yang sama bisa menjadi keliru, bergolak, tegang dan kacau. Sememangnya silih berganti, antara dua keadaan yang berbeza. Kita harus bijak dalam menangani apa jua keadaan yang kita hadapi, baik tenang mahupun tegang. Selalunya ketegangan bisa membawa kepada kehancuran dan kerosakan, tetapi siapa tahu ketenangan juga bisa mengundang kebinasaan andai kita terleka dan lalai.

Ketenangan dan ketegangan ada sumbernya masing-masing. Manusia sentiasa mencari sumber ketenangan. Kalau ada yang mencari sumber ketegangan, itu hanya untuk diletakkan ke atas orang lain, bukan dirinya sendiri. Penjenayah yang selalu menimbulkan ketegangan sekalipun, jauh di sudut hatinya tetap menginginkan ketenangan. Itu adalah lumrah, fitrah manusia yang tak mungkin berubah. Cumanya kita sering mencari sumber ketenangan yang sementara, tidak kukuh, rapuh dan mudah hilang.

Manusia diciptakan daripada tanah. Apabila kita lapar, kita mencari makanan yang semuanya tumbuh atau keluar daripada tanah. Buah daripada pokok yang tumbuh di atas tanah, nasi daripada padi yang juga daripada tanah, air yang keluar daripada permukaan bumi dan binatang-binatang yang makan hasil bumi. Dengan memenuhi keperluan tersebut, jasmani kita menjadi tenang. Jasad kita daripada tanah, maka ia akan menjadi tenang apabila ia kembali kepada tanah.

Sedangkan Ruh, ia ditiupkan daripada Ilahi ke dalam jasad manusia. Maka jika ruh ingin mencapai ketenangan, ia perlu kembali kepada penciptanya. Hanya itu sumber kebahagiaan. Kebahagiaan sebenar itu berkait dengan hati, maka kebahagiaan itu hanya diraih di sisi Ilahi. Manusia boleh berdalih bahawa dia mencapai ketenangan tanpa perlu pergantungan kepada Tuhan, namun sebenarnya hatinya sentiasa dirundung kekeliruan dan kerunsingan. Bagaimana mungkin dia mencapai kepuasan tanpa kembali kepada sumber kebahagiaan iaitu penciptanya sendiri?

Hal ini telah digariskan oleh Allah dalam Al-Quran:

"iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram."
(Ar-Ra'd: Ayat 28)

Ya, ketenteraman itu bersumber daripada Ilahi, kerana hadirnya kita ke bumi ini dengan izin-Nya dan daripada-Nya. Adapun sumber-sumber lain yang seolah-olah membawa ketenangan, semua itu sebenarnya hanyalah tipuan jika tidak bersumberkan Ilahi. Wang ringgit boleh memberikan ketenangan seketika. Namun semakin banyak yang kita kumpul, semakin kita risau kehilangannya dan semakin kita jadi tidak aman memikirkannya. Siang malam kita rasa terancam dan takut ada orang ingin mencuri atau merampasnya daripada kita.

Pangkat boleh memberikan ketenangan kepada kita. Namun semakin kita dinaikkan pangkat, semakin kita mengejar pangkat yang lebih tinggi untuk dipegang. Sampai kadang-kadang kita sanggup berbunuhan dan bertelingkah untuk mencapai matlamat tersebut. Hal ini mencabut ketenangan daripada kita bahkan juga orang lain. Hubungan cinta yang belum sah di luar pernikahan bisa memberikan secebis kebahagiaan, namun boleh jadi membawa kesengsaraan andai terlanjur perbuatan. Kita tak tenang memikirkan, takut kehilangan sedangkan si dia belum lagi milik kita. Kita tergantung dan terawang-awang. Namun jika kita bernikah demi mencari redha Allah, kebahagiaan luar biasa akan kita kecapi. Maka apalagi alasan kita untuk tidak kembali kepada Tuhan demi mencapai kebahagiaan, ketenangan?

Jika kita kembali kepada Tuhan, pasti ketenangan itu lebih kita rasakan sekalipun tatkala kita berada dalam ketegangan.

berjuang tak pernah senang
ombak derita tiada henti
tenang tegang silih berganti
inilah sunnah orang berjuang...

http://zulyunus.com

sumber: paksi.net..


p/s: alhamdulillah, siap jugak copy artikel orang.. hehe.. tak sempat nak updates sekarang ni sebab dah masuk Kolej Universiti INSANIAH.. nanti jadi universiti je, kolej tu takde dah, dah naik taraf..(n_n). Asif la kalu ade pengunjung, tekan sket KALAU ADE PENGUNJUNG tu..(-_-') yang datang tengok blog ni suram je, almaklumla, baru masuk belajar laptop tak beli lagi.. nak main internet kena pergi cc la...

Sedih jugak rayuan universiti tak dapat, mungkin kos yang kupilih tak sepadan dengan result yang tak berapa nak gempak.. wallahua'lam, itu semua kerja Allah S.W.T.. tapi alhamdulillah dapat masuk Insaniah ni, mungkin ade hikmahnya.. Ya Allah, moga ini yang terbaik untukku, keluargaku, masa depanku, agamaku, moga diriku terdidik disini.. insyaAllah.

Wallahua'lam..

2 comments:

  1. Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

    (a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
    (b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
    (c) Jom Kenali Dr Maza & Co
    (d) Ahlul Bait Yang Dicerca
    (e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
    (f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
    (g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

    FAKEH KHALIFAH SAKA

    ReplyDelete
  2. insyaAllah, jika mempunyai kelapangan ana akan membuka web yg telah diberikan..
    syukran atas perkongsian yang bermanfaat..

    ReplyDelete