Monday, June 27, 2011

..Hati Rumaisa untuk siapa??..

Bismillahirrahmanirrahim...

''Masinnya masak.. selalu masak masin, ni nak kawin la ni.." seloroh mak.. Em, orang tua-tua bilang kalau masaknya masin udah mau nikah.. kenapa ya?? ape perkaitannya? sebabnya anak dara tak boleh mengelamun didapur, nanti terlebih taruk garam.. mungkin...

Ditambah pulak dengan abang rumaisa yang bising sorang ini.. "Entah, nak kawin da la tu.."

Haila... apa ni?? semua cakap rumaisa dah nak kawin... tapi insyaAllah la akan datang.. bila?? itu tugas Allah yang Maha Esa..

"Ala mak ni... kan ke rumaisa suka makan masakan masin(tapi bukan la tahap masin yang amat.. rumaisa tak ade selera la kalau tawar, manis pun kurang suka)"

" Ha, ye la sangat... kena darah tinngi baru tau"

" ish, mak ni.. nauzubillahiminzalik... jangan la doakan kena darah tinggi"



Baru-baru ini, seorang sahabat pernah bertanya.. "rumaisa, dalam umur kita sekarang kena ke fikir pasal calon suami??

Bagi rumaisa kita dah boleh fikir sikit-sikit pasal calon suami sambil belajar ilmu mengenai alam rumah tangga yang mungkin terlalu asing bagi kita dan kita tidak tahu apakah cabaran dalam rumah tangga kita nanti.. memang perlu, tapi jangan terlalu memikirkan siapa calon kita dan bagaimana... semua itu ketentuan Allah dan tugas kita, jika inginkan yang baik dan soleh, berusahalah ke arah itu dan berdoalah.. insyaAllah.



" Ana nak tanda enti boleh??

"Enti sudah berpunyakah??

"Status facebook enti dah bertunang ya? bila? melepas la ana..

"ana nak berkawan sahaja dengan enti, kita kenal-kenal dulu kalau tak sesuai tak perlu teruskan.."

Wahai pemuda, segampang itukah kamu membuat keputusan untuk menanda seseorang?? bagaimana kamu memilih seseorang untuk ditanda? sudah istikharah? mungkin muslimah sekalian pernah mendengar jawapan ini.

"ana dah siap istikharah dah.. hehe"

"ana suka tengok enti"

" enti ni baik"

Apa jawapan anda selepas itu?? Jika rumaisa entah kenapa hati tetap tak dapat terima walau si pemuda mengatakan sudah istikharah.. mungkin bukan jodoh rumaisa lagi dan hati masih tak dapat terima.

Rumaisa lebih suka menjawab dah berpunya jika ader yang bertanya tentang diri dan mahu mendekati.. Kadang-kadang masalah itu datang daripada sahabat yang sama-sama bekerja dalam satu organisasi sehingga sukar melakukan gerak kerja... mungkin salah diri sendiri juga, astaghfirullah wa nauzubillahiminzalik..



Seorang adik pernah berkata pada rumaisa.." Ala akak.. jangan la memilih sangat.. dah ramai yang datang ambik aje la.."

Rumaisa hanya terdiam dan memikir kata-kata adik itu..

Kata mak sewaktu meminta pandangan beliau pada suatu hari.." Biarlah orang kata kita memilih, kalau hati tak nak dan tak sesuai, biarkan dulu.. memang kita perlu memilih sebab kita bukan nak hidup sehari dua tapi untuk selamanya..

Rumaisa bukan memilih tapi berhati-hati..

Rumaisa bukan nak yang sempurna tapi cukuplah yang dapat menampung kekurangan diri..



"Akak ade minat orang ek?? sebab tu tak terima lamaran orang ek??"

Rumaisa tersenyum, ape la adik nih.. kalau betul pun biarlah hanya dalam hati dipendam sahaja dan nauzubillah jika menyebabkan kelalaian dan kealpaan daripada mengingatiNya..

Mari kita renungi bersama.

Dalam membina sesebuah institusi keluarga yang diredhai, kita harus sedar bahawa kita sebenarnya menjalankan serta menunaikan satu kewajipan berupa amanah daripada Yang Maha Esa.

Pembentukan sesebuah institusi keluarga itu akan terus berkesinambungan dari generasi ke generasi.

Pendidikan tentang membina keluarga yang bahagia harus ditekankan dalam diri anak-anak yang bakal mewarisi perjalan kehidupan ini.

Di sini dapat kita lihat bahawa peranan ibubapa itu amat penting dalam mendidik zuriat kurniaan Ilahi agar mementingkan keutuhan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah S.W.T. telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka, maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah orang yang taat (kepada Allah S.W.T. dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suaminya tiada bersamanya, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongannya..." - Surah An-Nisa' ayat 34

~petikan dari iluvislam..

Rasa ingin dicintai dan mencintai.. biarlah hanya suami..
Rasa ingin menyayangi dan disayangi.. biarlah hanya suami
Rasa ingin dikasihi dan mengasihi.. biarlah hanya suami..


----->> sebelum rumaisa mendirikan rumah tangga, rumaisa mahu berbakti pada kedua ibu bapa tercinta dunia akhirat..

----->> Biarlah hatiku terbuka jika benar dia adalah insan yang dipilih oleh Allah untukku... Aku hanya mampu berdoa..


YaAllah jauhkanlah aku dari fitnah dan menjadi fitnah kepada kaum lelaki... aminn..

Hadirkan rasa CINTA dalam hati kami semua kepadaMu ya Allah.. aminn

..HATIKU MILIK SIAPA? HATIKU MILIKMU YA ALLAH..

Friday, June 3, 2011

..Hak mahasiswa bersuara TIDAK mengira politik..


Segelintir golongan mendakwa mahasiswi sejak permulaan gerakan mahasiswa begitu lemah, tidak mempunyai kesedaran, kurang peka dengan isu semasa dan pasif. Ini kerana tidak banyak catatan sejarah menunjukkan mahasiswi bangkit bersama berdiri sama tinggi dengan mahasiswa. Bagi saya kata-kata ini adalah kurang berasas kerana sejarah Islam sendiri memahat banyak contoh penglibatan wanita dalam pengetahuan, pendidikan, politik dan sebagainya.

Saya selaku mahasiswi Kolej Universiti Insaniah dan juga merangkap Timbalan Pengerusi Biro Kepimpinan dan Kerohanian MPM Insaniah bagi sesi 2010/2011 berpandangan bahawa hukuman ini tidak wajar dengan kesalahan yang dilakukan kerana mahasiswa bukanlah "penjenayah" yang dikehendaki, sehinggakan hukuman sebegitu yang diputuskan. Tetapi apa yang keenam-enam mahasiswa ini lakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang terjadi dalam berlaku dalam kampus Insaniah. Salahkah 6 orang mahasiswa ini bangkit bersama pelajar diploma tahfiz menyuarakan suara hati kecil mereka? .

Bagi saya berdasarkan isu 6 orang mahasiswa yang dikenakan tindakan oleh pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) adalah mendukacitakan kerana pertuduhan yang dikenakan kepada enam orang mahasiswa tersebut adalah samar dan tidak ada bukti yang benar-benar kukuh untuk menyabitkan kesalahan 6 orang mahasiswa tersebut. Antara pertuduhan yang dikenakan ialah pertuduhan mengadakan perhimpunan, pertuduhan melakukan kenyataan terbuka, pertuduhan menggunakan pembesar suara.


Dalam prosiding yang berlangsung pada awal hari ini (25/5/2011), keenam-enam mahasiswa tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman seperti berikut:

1. Mohd Faiz B. Mohd Arshad: Digantung 2 semester pengajian.
2. Mohd Azlan Bin Mat Zain: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
3. Ahmad Remi Bin Mohd Arof: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
4. Muhamad Aiman B. Che Abd Razab: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
5. Zukhilatif Bin Marzuki: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
6. Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin: Surat Amaran dan Denda RM100.

Bagi pandangan peribadi saya, jika wajar dan jelas kesalahan mereka dan telus prosedur yang dijalankan menyebabkan sabit kesalahan, ia tidak menjadi persoalan.

Yang menjadi persoalan sekarang, kes 6 orang mahasiswa yang disabitkan kesalahan adalah tidak wajar, malahan tidak jelas pula perbicaraan.

Jika dilihat dalam disiplin ilmu undang-undang, terdapat suatu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty).

Kesan negatif ekoran dari hukuman Tatatertib Kaedah 2007 yang tertakluk di bawah Akta 555 ini jelas merupakan langkah awal untuk mematikan hak kebebasan mahasiswa bersuara terutama di Insaniah. Perlu kita ingat, mahasiswa merupakan rakan penyumbang kepada pembangunan Negara, mahasiswa pemimpin masa hadapan, persatuan mahasiswa adalah satu gerakan dan satu perjuangan yang mempunyai idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang tersendiri.

Dengan pelaksanaan hukuman ini menjadikan saya masih keliru, di manakah relevannya akta ini dan ‘validity’ nya dalam perlaksanaan di kolej bagi mengekang keterlibatan serta mematikan idealisma mahasiswa.

Secara peribadinya saya menyokong kata-kata Timbalan Menteri II Kementerian Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah, “Tiga 3 permintaan asas Mahasiswa dan generasi muda ialah mahasiswa mahu suaranya didengar , isunya di tangani dengan telus dan perananya diiktiraf.

Hal ini jelas menunjukkan Dato’ Saifuddin benar-benar memahami dan bersama-sama mahasiswa dalam memperjuangkan hak mereka.

Izinkan saya meminjam kata-kata pemimpin mahasiswa hari ini, “adakah universiti sekadar 3K iaitu Kuliah, Kolej, Kafeteria?. Bagi saya rungan ini cukup sempit dan cukup tidak terbuka kepada mahasiswa!

Mahasiswa dan politik

Kita sering mendengar ada pihak menyatakan bahawa mahasiwa perlu belajar dahulu, apabila sudah lulus nanti barulah berpolitik. Bahkan ada juga yg menilai politik mahasiswa dari sudut positif, disamping belajar, mahasiswa perlu sedar, bakat politik perlu di semai ketika mereka masih belajar lagi.

Jika kita lihat kembali pada status kelayakkan mengundi di negara kita iaitu “umur 21”, status ini jelas menunjukkan mahasiswa semestinya diberi ruang agar lebih berperanan pro-aktif sesuai dengan namanya “maha” ”siswa”. Mahasiswa perlu bertindak sebagai agen “check and balance” , penyumbang idealism dan bebas bersuara menegur kebatilan agar setiap perkara dapat dilaksanakan secara adil dan saksama bukan hanya sekadar menjadi mahasiswa yang tahu keluar mengundi pada pilihanraya. Rasionalnya akta 555 yang berkuatkuasa dikolej Universiti sedikit sebanyak telah menyekat peranan mahasiswa ini. Bagi saya, mahasiswa mempunyai autoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir golongan yang berilmu dan mempunyai keintelektualan tersendiri.

Memetik kata-kata Dato’ Saifuddin Abdullah dalam laman sesawangnya (website), dalam konteks membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik, ia mempunyai dua matlamat utama, iaitu:

(1) Untuk memenuhi haknya sebagai warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

(2) Untuk mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar IPT, dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Tapi apa yang saya ingin tekankan disini, hukuman terhadap keenam-enam orang mahasiswa ini bukan membicarakan soal politik Pakatan Rakyat mahupun BN, tapi isunya di sini adalah Hak Mahasiswa.

Bagi saya situasi yang berlaku ini sebenarnya membuka ruang pada Menteri Besar Kedah agar lebih bersikap terbuka dan bersikap sedia mendengar pandangan semua pihak. Saya yakin dan pasti Ustaz Azizan bukan berniat ingin menyekat kebebasan mahasiswa Insaniah bersuara tetapi sebagai pengerusi universiti pastinya Ustaz Azizan mahukan kualiti graduasi mahasiswa kolej universiti insaniah lebih pro aktif dan matang dan dalam menangani isu serta lebih idealisme.

Hidup Mahasiswa atas kebenaran!

-Copy daripada blog majlis perwakilan mahasiswa kuin-
Penulis :
Mariyam Bt Sa’ari.
Timbalan pengerusi Biro Kepimpinan dan Kerohanian,
Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah sesi 2010/2011

..Minggu SilaturRahim : MPM bukan boikot..


Assalamualaikum Warahmatullah dan Selamat Sejahtera
Sahabat-sahabat mahasiswa yang dirahmati Allah sekalian.
Sedikit penjelasan mengenai isu terbaru kolej berkaitan penglibatan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dalam Minggu SilaturRahim (MSR) kemasukan pelajar baru pengambilan pertama pada 6 JUN 2011 akan datang.
Sepertimana yang semua sedia maklum, setelah enam orang mahasiswa kolej dikenakan hukuman tindakan tatatertib kolej yang melibatkan empat orang ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa dan dua orang mahasiswa kuliah Al-Quran (tahfiz) tempoh hari, MPMKUIN tampil dengan pendirian untuk berbincang bersama pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) di samping merayu supaya empat orang ahli keluarga MPM dan dua orang mahasiswa tahfiz untuk terlibat secara langsung dalam MSR sekiranya mahu pihak MPM bekerjasama dalam penganjuran MSR pada kali ini. Sekiranya keputusan perbincangan tidak memihak kepada kita, MPM secara tegasnya tidak akan terlibat dalam penganjuran MSR pada kali ini.

30 MEI 2011 (ISNIN) – 10.00 pagi
Perbincangan antara MPM yang diwakili Majlis Tertinggi (MT) bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar (DHEP) yang baru iaitu Ustazah Rohani Binti Desa. Hasil perbincangan panjang pihak kami (MPM) bersetuju untuk mempertimbangkan semula keputusan dan akan berusaha untuk membantu menjayakan MSR pada kali ini dengan kerjasama HEP. Perkara itu (pertimbangan), di bawa ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MTMPM) pada sebelah malam hari yang sama. Hasil perbincangan kami bagi pihak MPM bersetuju untuk bersama-sama HEP bagi menjayakan penganjuran MSR pada kali ini.

31 MEI 2011 (SELASA) – 9.30 pagi
Keputusan kesediaan MPM untuk bersama-sama HEP menjayakan penganjuran MSR pada kali ini dibawa kepada pengetahuan Dekan Hal Ehwal Pelajar (DHEP) Ustazah Rohani Binti Desa. MPM yang diwakili Timbalan Presiden Mohd Firdaus Bin Bakar pada pagi itu terkejut apabila hasrat beliau untuk menyatakan kesediaan MPM untuk bersama HEP menjayakan penganjuran MSR tidak kesampaian disebabkan tindakan pihak pentadbiran atasan kolej yang menganggap pendirian MPM itu sebagai satu keputusan sedangkan perbincangan sebelum ini kami sudah bersetuju dengan DHEP untuk mempertimbangkan keputusan tersebut. Menurut sumber yang kami perolehi daripada individu yang tidak mahu identitinya dikenali berkata : “mengikut keputusan mesyuarat atasan pentadbiran kolej, rektor Dato’ Wira Jamil Bin Osman tidak mahu langsung adanya penglibatan pelajar khususnya MPM dlm penganjuran MSR kali ini”.
Justeru, dengan keputusan yang telah dibuat maka pihak HEP telah memilih Jawatankuasa Asrama (JAKSA) agar bekerjasama dalam menjayakan MSR pada kali ini. Namun, timbulnya permasalahan di peringkat JAKSA di mana tenaga yang diperlukan tidak mencukupi untuk menampung keperluan dengan jumlah kehadiran pelajar-pelajar baru yang dijangka mencecah jumlah 2000 orang, maka kami di pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dengan sebaik mungkin berusaha untuk membantu pihak JAKSA bagi meringankan beban di pihak mereka. Beberapa orang kakitangan baru akhirnya berjaya dikumpulkan hasil sekelumit bantuan dari pihak MPM walaupun nama MPM tidak akan dicanangkan langsung di persada Minggu SilaturRahim (MSR) pada sesi kali ini.

1 JUN 2011 (RABU) – 10.23 malam
Satu mesyuarat tergempar di antara majlis tertinggi MPM dan majlis tertinggi MSR telah diadakan pada hari sebelumnya maka keputusan yang diperolehi hasil perbincangan adalah pembubaran adhoc pelaksana MSR yang mana telah disusun bermula dari awal percutian semester lepas hingga kini. Namun, tepat pada jam 10.23 malam, Mohd Akmal bin Arom mantan Pengarah MSR sesi 2010/2011 dengan berat hatinya telah mengumumkan di hadapan seluruh jawankuasa pelaksana MSR seribu kemaafan di atas pembubaran MSR pada kali ini serta harapan agar usaha-usaha yang ditaburkan oleh semua penggerak MSR akan dihitung di akhirat kelak. Penjelasan demi penjelasan diluahkan oleh wakil MPM agar tiada khabar angin yang bukan-bukan mengenai MPM .

2 JUN 2011 (KHAMIS) -12.00 tengahari
Pihak HEP telah menetapkan agar JAKSA menyediakan 40 orang tenaga sukarela di kalangan muslimin dan muslimat bagi menguruskan pelajar baru di Kediaman Asrama Al-Farobi untuk muslimat serta kediaman baru di Stargate untuk muslimin. Surat perjanjian telah dikeluarkan oleh pihak HEP dengan mewajibkan setiap kakitangan harus mengisi borang ‘ Akur Janji ’ sebagai tanda persetujuan kerjasama di antara kedua belah pihak-MPMKUIN

“Mahasiswa Sejahtera Keutamaan Kami”

Wednesday, June 1, 2011

..Perkara separuh basi..^_^ baru nak post..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah.. diatas segala nikmat kurniaanNya yang tiada tolok bandingannya..

Emm.. dalam fatrah cuti ni.. macam-macam dah isu yang berlaku kat Insaniah.. kenapa jadi macam ni agaknya.. bila dah cuti ni, rumaisa hanya boleh tau ape yang berlaku kat negeri jelapang padi tu, hanya melalui internet saje. Alhamdulillah, sekurang-kurannya tahu jugak. Dah lama berlaku, tapi baru berpeluang nak post kat blog.. xbasi lagi kot, sebab isu ini masih belum berakhir..


Kronologi Enam Siswa KUIN Dikenakan AUKU

http://a7.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/255383_10150196732443643_330976958642_6793119_6799044_n.jpg

6 Mahasiswa yang ditindas: Muhammad Aiman, Mohd Faiz, Ahmad Remy, Mohd Farhan, Zukhilatif, Mohd Azlan.


Kedah, 26.5 :Berikut adalah kronologi yang berlaku dalam kes enam siswa Kolej Universiti Insaniah yang telah disabitkan kesalahan di Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) semalam :

1 APRIL 2011 : Selepas menunaikan solat Jumaat sekumpulan pelajar dan pensyarah tahfiz telah mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut semula bangunan tahfiz yang telah dirampas untuk pembangunan Sekolah Insan Bestari.

Himpunan ini turut melibatkan Saudara Faiz Arsyad(Presiden MPM),dan beberapa orang exco MPM yang turun bersama memperjuangkan hak kuliah tahfiz.

3 APRIL 2011 : Rentetan daripada demonstrasi aman tersebut Ustaz Muhammad Idrus Bin Ismail telah dilucutkan jawatan selaku Timbalan Dekan Kuliah Al-Quran,kerana turut terlibat dalam demonstrasi bantahan pembinaan Sekolah Insan Bestari

1) Pada 9.00 malam Barisan MT dan Exco MPM bersidang,berbincang mengenai isu permasalahan yang di hadapi oleh pelajar Kuliah Kuliah Quran.

Kata sepakat dicapai untuk menghantar surat rundingan antara MPM,Rektor dan Menteri Besar. Namun usaha ini gagal kerana Pihak Rektor dan Menteri Besar enggan bertemu MPM.

4 APRIL 2011 : MB Kedah Mengeluarkan kenyataan akhbar,beliau menyatakan kekesalan kerana menerima surat berbaur ugutan daripada pensyarah kuliah tahfiz

5 APRIL 2011 : Apabila diteliti segala sumber,surat yang diterima oleh MB rupanya merupakan laporan palsu yang diberikan oleh Dekan Kuliah Al-Quran.

Oleh itu,Pada hari yang sama juga Dekan Kuliah Quran menghantar surat penafian pada laporan pertama yang beliau beri pada MB, dan keluar kenyataan media bahawa ‘Dekan Kuliah Quran Memohon Maaf

1) Seperti biasa, Mohd Aiman Razab (Peng.Biro Penerangan) mengadakan speaker corner untuk melakukan penerangan isu kuliah tahfiz dan buku mappixc serta isu-isu berbangkit kepada mahasiswa, namun telah dihalang oleh pihak HEP iaitu Encik Ikhmal,berlaku sedikit ketegangan apabila pihak HEP menuduh Saudara Aiman tidak mengikuti prosuder KUIN

6 APRIL 2011 : Faiz Arsyad ,Azlan Mat Zain dan Mohd Aiman Razab telah mengeluarkan kenyataan akhbar menggesa pertemuan dua mata antara Menteri Besar, Dato’ Rektor dan Kuliah Quran tanpa kehadiran orang perantaraan dan juga memberikan mengenai beberapa isu dalaman yang berkaitan kebajikan mahasiswa.

7 APRIL 2011 : Telah berlaku satu cubaan membakar pejabat HEP dan sehingga kini suspek tak dapat dikenal pasti.Dan MPM mengesyaki ini adalah salah satu provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memanipulasikan isu yang berlaku.

21 APRIL 2011 : Timbul cadangan di peringkat tertinggi KUIN agar Dip Tahfiz dipindah kepada Yayasan Islam kedah (YIKED) manakala bagi Ijazah dan Master akan kekal.

1) Usaha-usaha MPM dan ITQAN untuk menyelamatkan Diploma Tahfiz daripada dikeluarkan dari Insaniah digencarkan

23 APRIL 2011 : 6 Mahasiswa, Faiz Arsyad, Aiman Razab, ZukhiLatif, Ahmad Remy, Mohd Farhan dan Mohd Azlan telah menerima ‘Surat Cinta’ daripada pihak pentadbiran.

Ia untuk menggesa mereka memberikan surat tunjuk sebab dan perbicaraan tatatertib berkenan keterlibatan mereka dalam demonstrasi,mengeluarkan kenyataan akhbar,dan memberikan ucapan menggunakan pembesar suara (speaker corner).

30 APRIL 2011 : MPM bersama ITQAN mengadakan solat hajat perdana agar Diploma Tahfiz tidak dikeluarkan daripada KUIN

2 MEI 2011 : Beberapa Exco MPM dan ITQAN mengadakan Roudtour setiap asrama bagi penjelasan isu dan meraih sokongan mahasiswa terhadap isu Tahfiz

11 MEI 2011 : 6 Mahasiswa yang telah menerima ‘Surat Cinta’ daripada pihak HEP,telah menghantar surat bantahan terhadap surat HEP kerana tidak mematuhi prosiding mahkamah dan ‘Surat Cinta’ HEP pertama tidak sah!

15 MEI 2011 : ‘Surat Cinta’ iaitu surat tunjuk sebab dan perbicaraan tatatertib daripada pihak pentadbiran yang ke dua di proses dan di hantar semula kepada 6 mahasiswa kita,mereka dikehendaki memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari.

18 MEI 2011 : Mohd Aiman Razab wakil daripada seluruh mahasiswa KUIN menghantar memorandom ‘selamatkan idealisme mahasiswa kepada S/U Pejabat PAS pusat meminta agar Presiden PAS menasihati Kerajaan Negeri Kedah agar bersikap rasional dan adil dalam menangani isu-isu kampus yang berlaku.

25 MEI 2011 : Perbicaraan Terhadap 6 mahasiswa yang di dakwa telah berlangsung.Dan diputuskan 5 daripada mereka di gantung pengajian dan 1 orang didendaMajlis Perwakilan Mahasiswa KUIN

Mohd Faiz Bin Mohd Arshad : Di gantung 2 sem pengajian

Mohd Aiman Bin Che Ab Razab : Surat amaran dan digantung 1 sem pengajian

Zukhilatif Bin Marzukhi : Surat amaran dan di gantung 1 sem pengajian

Mohd Azlan Mat Zain : Surat amaran dan digantung 1 sem pengajian

Ahmad Remi Bin Md Arof : Surat amaran dan digantung 1 sem pengajian

Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin : Surat Amaran dan denda RM100

Dijatuhkan hukuman atas tuduhan-menyertai demonstrasi,memberikan ucapan di hadapan orang rami menggunakan pembesar suara (speaker corner),dan merayu serta mengadakan kenyataan akhbar dan kepada orang awam.

Akhirnya Demokrasi kampus telah dicabuli,suara-suara mahasiswa telah disekat..sahabat-sahabat kita dikenakan tindakan kerana mempertahankan hak anda mahasiswa,apa tindakan anda? hanya sekadar memerhati!!

Daripada :

Majlis Perwakilan Mahasiswa,

Kolej Universiti Insaniah (KUIN)


------>>5 mahasiswa yang digantung pengajian & seorang yang didenda sekarang dalam tempoh bertenang dan masih menunggu keputusan rayuan..