Sunday, February 27, 2011
..Praktikal as Journalist at INSANIAH..^_^
Friday, February 18, 2011
..Syaitan itu KREATIF..

Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?
“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.
Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.
Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!
KISAH TIDAK LAMA DULU
Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.
“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.
“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.
“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.
“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”
“Syukur,” kata saya perlahan.
Setahun kemudian.
“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.
“Betul ke ni?”
“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”
Saya terdiam. Kaku.
“Mana pergi tudungnya?”
“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.
“Itu tudung?”
“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”
“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.
Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.
“Bang saya insaf bang…“
Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!
Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:
“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.
“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.
Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.
Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:
“Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”
“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.
“Aku tak faham. Maksud kau?”
“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”
“Lantas?”
“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”
“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”
“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”
“Jadi kebenaran menolak keindahan?”
“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!
“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.
“Transisi? Apa maksud mu?”
“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”
“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”
Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.
“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”
“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”
“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading– maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.
“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”
“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”
“Maksud kau?”
“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”
Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit!

Sunday, February 6, 2011
..Pain is beautiful..
Tuesday, January 18, 2011
..Tahun satu, semester 2..



..Engkau Tempatku Bersandar..
..Nota Cinta Buatmu Bakal Suamiku..

Bismillahirrahmanirrahim..
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Kerja, kerja, dan kerja. Aku bosan dengan semua ini.”, getus hati kecil Izhar yang merasakan hidupnya sekarang sunyi dan sepi.
Izhar merupakan seorang peguam di mahkamah syariah dan bertugas sebagai seorang pendakwa raya.
”Hari-hari berhadapan dengan kes-kes penceraian, khalwat…”, bagaikan tertekan dengan kesibukan kerjayanya sehingga diri sendiri seakan tidak terurus.
“Hidup bersahabat memang berbeza dengan hidup berteman...”, tiba-tiba sahaja tersentuh hati Izhar untuk mencari pasangan setelah sekian lama dia hidup bersendirian.
Dengan ini, bermulalah kisah Si Ustaz dalam mencari pasangan hidupnya. Dengan langkahnya pertama, usaha Izhar telah bertemu dengan seorang gadis. Namanya Alfatunnisa’. Cantikkan namanya, begitulah juga parasnya, secantik namanya. Gadis ini adalah rakan sekampus kawan Izhar semasa menuntut di Jepun dahulu.
Alfatunnisa' adalah anak orang ternama, anak Tan Sri Ahmad. Gugup juga Izhar apabila hendak berhadapan dengan Tan Sri. Tetapi itu dulu, sebelum Izhar kenal dengan Tan Sri. Sekarang hubungan mereka nampaknya sudah rapat seperti saudara sendiri. Mungkin itulah yang dikatakan jodoh. Sebenarnya perkenalan dengan gadis ni bukanlah lama, sekejap saja. Mereka memang merancang untuk mendirikan rumahtangga bersama namun semakin lama dikenali, gadis itu seakan sudah banyak berubah.
”Mungkin ini bukan jodohku, aku tak tahu erti cinta...adakah aku tertarik padanya ataupun pada hartanya...Nauzubillah, ya Allah..selamatkan diriku daripada godaan syaitan...”, hati Izhar berbisik dan berdoa sendirian.
Pada langkah pertama, Izhar gagal menemui cinta hatinya. Pencarian Izhar tidak berakhir hanya di situ. Akhirnya semasa menguruskan kes anak guamannya, Izhar tertarik pula dengan anak kepada anak guamannya. Surina namanya, berasal daripada keluarga yang sederhana, Orangnya bijak bekata-kata. Akhirnya Izhar terpancing jua. Sesungguhnya Allah mengetahui segala-galanya.
Pada suatu hari, Izhar terserempak dengan Surina di salah satu pasar raya berdekatan bersama seorang jejaka, mesra sekali lagak mereka. Setelah disiasat, sungguh tidak disangka-sangka bahawa Surina yang sangat petah dan bijak berkata-kata selama ni sanggup berdusta dan mengambil kesempatan. Surina sebenarnya bekerja di kelab malam.
”Astaghfirullahal azim..alhamdulilah, daku bersyukur padamu ya Rabbi, Engkau menyelamatkanku daripada segala bencana, sekiranya aku berkahwin dengan keturunan seperti ini, amatlah pedih untuk aku melalui sisa-sisa hidup ini…”, syukur Izhar atas segala petunjuk daripadaNya.
Setelah kecewa dengan gelagat cinta yang baru ditemui itu, Izhar sepertinya sudah putus harapan. Bagi Izhar, biarlah masa yang menentukan kerana dia yakin akan ketentuan Allah.
Bulan silih berganti, hari demi hari, putaran jam meninggalkan masa-masa yang lalu. Izhar semakin sibuk dengan menguruskan firmanya. Suatu hari, Izhar menghadiri mesyuarat untuk satu program yang disertainya, program "Selamatkan Jiwa". Mesyuarat pada hari itu pula melibatkan seluruh mahkamah syari’ah di kawasan tersebut. Dalam kalangan ahli jawatankuasa yang datang, Izhar terpandang ke arah seorang wanita yang dirasakan amat berbeza dengan wanita-wanira lain. Sangat pendiam orangnya.
Diam-diam ubi berisi, namun apabila melontarkan idea, cukup bernas! Memang cantik orangnya. Sopan dan berjubah adalah penampilan yang dipilih. Tidak hairanlah kerana gadis ini merupakan alumni Universiti Al-Azhar, dan ayahnya adalah imam di kampungnya. Izhar akhirnya mengambil kata putus untuk menulis sepucuk surat untuk menyatakan isi hatinya.
Salam perkenalan buat saudari Sa’adatul Sakinah...
Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, saya meminta izin daripada saudari untuk mengenali dengan lebih dekat lagi. Saya amat tertarik dengan saudari, pandangan mata yang penuh keihklasan melontarkan idea-idea yang bernas untuk melakukan kebajikan di jalan Allah. Mungkin Allah telah mempertemukan kita, dalam situasi yang sama.
Dirimu yang sempurna, memperjuangkan kalimah suci Allah membuatkan saya tertarik dengan saudari. Tidak sepertimana perempuan-perempuan di luar sana yang pernah saya kenali. Andainya diri tidak berpunya, izinkan saya untuk melamar awak sebagai isteri saya yang sah.
Ikhlas, Izhar...
Wassalam saudaraku Muhd Izhar...
Buat saudara yang baru ku kenali, sesungguhnya pertemuan dan perpisahan adalah milik Allah, Dialah yang berhak mengaturkan segalanya. Sudi-sudikanlah menghayati nota-nota yang ku tulis buatmu...
Wahai saudaraku...Cinta pertama mengukir peristiwa, menguggat pelbagai perkara. Ketahuilah saudara, jangan mempercayai pada pandangan mata, ia hanya pandangan syaitan durjana. Usah memujiku lebih darinya, kiranya diri ini masih kurang seadanya, idea hanyalah pandangan manusia, belum tentu betul pada pandangan yang Esa. Sempurnaku tak sempurna Nabiku, kerana aku hanya manusia biasa, dan ketahuilah sahabat, manusia tidak akan pernah sempurna.
Wahai saudaraku...janganlah kau membanding-bandingkan diriku dengan insan lain, sesungguhnya Allah tidak menyukai hambaNya mempersoal mengenai keburukan mereka. Kiranya engkau membenci kemaksiatan, tugasmu adalah membawa mereka berhijrah dan tidak sesekali berhujah untuk menyemarakkan lagi hati mereka.
Kirannya aku jatuh cinta padamu, itu kerana aku jatuh cinta pada kesederhanaanmu, dan kiranya aku membenci dirimu, tidak bermakna aku membenci dirmu, tetapi aku membenci egomu. ingatlah wahai Adam, manusia adalah sama, hiris tangan, pastinya darah yang mengalir adalah merah. Hanya Allah yang dapat membezakan hambanya, dan kita sebagai hamba tidak layak untuk membuat penilaian.
Andainya kamu mencintaiku kerana Allah yang maha Pencipta..Sesungguhnya aku belum berpunya, diriku hanyalah untuk Dia. Aku menerima lamaranmu dengan hati yang terbuka, Kiranya ini menambahkan ketaqwaanku padaNya. Inilah nota-nota cintaku buatmu lelaki yang akan bergelar suami…
“Astaghfirullahal ’azim...Astaghfirullahal ‘azim…Astaghfirullahal ‘azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Sesungguhnya selama ini aku telah tewas dalam permainan cinta. Terlampau mengejar cinta, aku telah melakukan dosa pada mereka. Sesungguhnya diriku kerdil di hadapanMu ya Rabbi. Aku sememangnya tidak layak untuk menghukum manusia, sesungguhnya aku seorang hamba seperti mereka..”, doa Izhar selepas menunaikan solat tahajjudnya.
Izhar kini bersyukur kerana telah dikurniakan oleh Allah seorang isteri yang solehah, mampu memandu hidupnya dan saling melengkapi dan memperbaiki dalam kesilapan masing-masing. Dia tersedar akan kesilapannya terhadap Surina dan Alfatunnisa yang gagal menemukan mereka kepada kebenaran.
Yakinlah bahawa sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah dan masanya pasti akan tiba...
~Andai semua syabab tahu betapa hati gentar tatkala mereka memandang fatayat dengan pandangan yang hanya mereka sendiri tahu maksudnya.. Andai bisa ditepis pandangan itu... Andai pandangan itu bukan untuk mereka. Kadang terasa hanya mahu menerima lamaran yang datang, supaya tidak menjadi fitnah dan tidak menjadi tumpuan syabab.. tapi bila difikirkan tanggungjawab yang bakal dipikul sebagai pelajar sekaligus seorang isteri membuatkan diri benar merasakan tidak mampu.. " Ya Allah, tabahkan hati hambaMu.. berilah petunjukMu kepada hambaMu.. lindungi kami daripada fitnah.."
Mohon padaMu Ya Robb..
Friday, January 7, 2011
..Tolong promote jer..
