Friday, June 3, 2011

..Hak mahasiswa bersuara TIDAK mengira politik..


Segelintir golongan mendakwa mahasiswi sejak permulaan gerakan mahasiswa begitu lemah, tidak mempunyai kesedaran, kurang peka dengan isu semasa dan pasif. Ini kerana tidak banyak catatan sejarah menunjukkan mahasiswi bangkit bersama berdiri sama tinggi dengan mahasiswa. Bagi saya kata-kata ini adalah kurang berasas kerana sejarah Islam sendiri memahat banyak contoh penglibatan wanita dalam pengetahuan, pendidikan, politik dan sebagainya.

Saya selaku mahasiswi Kolej Universiti Insaniah dan juga merangkap Timbalan Pengerusi Biro Kepimpinan dan Kerohanian MPM Insaniah bagi sesi 2010/2011 berpandangan bahawa hukuman ini tidak wajar dengan kesalahan yang dilakukan kerana mahasiswa bukanlah "penjenayah" yang dikehendaki, sehinggakan hukuman sebegitu yang diputuskan. Tetapi apa yang keenam-enam mahasiswa ini lakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang terjadi dalam berlaku dalam kampus Insaniah. Salahkah 6 orang mahasiswa ini bangkit bersama pelajar diploma tahfiz menyuarakan suara hati kecil mereka? .

Bagi saya berdasarkan isu 6 orang mahasiswa yang dikenakan tindakan oleh pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) adalah mendukacitakan kerana pertuduhan yang dikenakan kepada enam orang mahasiswa tersebut adalah samar dan tidak ada bukti yang benar-benar kukuh untuk menyabitkan kesalahan 6 orang mahasiswa tersebut. Antara pertuduhan yang dikenakan ialah pertuduhan mengadakan perhimpunan, pertuduhan melakukan kenyataan terbuka, pertuduhan menggunakan pembesar suara.


Dalam prosiding yang berlangsung pada awal hari ini (25/5/2011), keenam-enam mahasiswa tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman seperti berikut:

1. Mohd Faiz B. Mohd Arshad: Digantung 2 semester pengajian.
2. Mohd Azlan Bin Mat Zain: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
3. Ahmad Remi Bin Mohd Arof: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
4. Muhamad Aiman B. Che Abd Razab: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
5. Zukhilatif Bin Marzuki: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
6. Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin: Surat Amaran dan Denda RM100.

Bagi pandangan peribadi saya, jika wajar dan jelas kesalahan mereka dan telus prosedur yang dijalankan menyebabkan sabit kesalahan, ia tidak menjadi persoalan.

Yang menjadi persoalan sekarang, kes 6 orang mahasiswa yang disabitkan kesalahan adalah tidak wajar, malahan tidak jelas pula perbicaraan.

Jika dilihat dalam disiplin ilmu undang-undang, terdapat suatu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty).

Kesan negatif ekoran dari hukuman Tatatertib Kaedah 2007 yang tertakluk di bawah Akta 555 ini jelas merupakan langkah awal untuk mematikan hak kebebasan mahasiswa bersuara terutama di Insaniah. Perlu kita ingat, mahasiswa merupakan rakan penyumbang kepada pembangunan Negara, mahasiswa pemimpin masa hadapan, persatuan mahasiswa adalah satu gerakan dan satu perjuangan yang mempunyai idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang tersendiri.

Dengan pelaksanaan hukuman ini menjadikan saya masih keliru, di manakah relevannya akta ini dan ‘validity’ nya dalam perlaksanaan di kolej bagi mengekang keterlibatan serta mematikan idealisma mahasiswa.

Secara peribadinya saya menyokong kata-kata Timbalan Menteri II Kementerian Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah, “Tiga 3 permintaan asas Mahasiswa dan generasi muda ialah mahasiswa mahu suaranya didengar , isunya di tangani dengan telus dan perananya diiktiraf.

Hal ini jelas menunjukkan Dato’ Saifuddin benar-benar memahami dan bersama-sama mahasiswa dalam memperjuangkan hak mereka.

Izinkan saya meminjam kata-kata pemimpin mahasiswa hari ini, “adakah universiti sekadar 3K iaitu Kuliah, Kolej, Kafeteria?. Bagi saya rungan ini cukup sempit dan cukup tidak terbuka kepada mahasiswa!

Mahasiswa dan politik

Kita sering mendengar ada pihak menyatakan bahawa mahasiwa perlu belajar dahulu, apabila sudah lulus nanti barulah berpolitik. Bahkan ada juga yg menilai politik mahasiswa dari sudut positif, disamping belajar, mahasiswa perlu sedar, bakat politik perlu di semai ketika mereka masih belajar lagi.

Jika kita lihat kembali pada status kelayakkan mengundi di negara kita iaitu “umur 21”, status ini jelas menunjukkan mahasiswa semestinya diberi ruang agar lebih berperanan pro-aktif sesuai dengan namanya “maha” ”siswa”. Mahasiswa perlu bertindak sebagai agen “check and balance” , penyumbang idealism dan bebas bersuara menegur kebatilan agar setiap perkara dapat dilaksanakan secara adil dan saksama bukan hanya sekadar menjadi mahasiswa yang tahu keluar mengundi pada pilihanraya. Rasionalnya akta 555 yang berkuatkuasa dikolej Universiti sedikit sebanyak telah menyekat peranan mahasiswa ini. Bagi saya, mahasiswa mempunyai autoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir golongan yang berilmu dan mempunyai keintelektualan tersendiri.

Memetik kata-kata Dato’ Saifuddin Abdullah dalam laman sesawangnya (website), dalam konteks membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik, ia mempunyai dua matlamat utama, iaitu:

(1) Untuk memenuhi haknya sebagai warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

(2) Untuk mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar IPT, dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Tapi apa yang saya ingin tekankan disini, hukuman terhadap keenam-enam orang mahasiswa ini bukan membicarakan soal politik Pakatan Rakyat mahupun BN, tapi isunya di sini adalah Hak Mahasiswa.

Bagi saya situasi yang berlaku ini sebenarnya membuka ruang pada Menteri Besar Kedah agar lebih bersikap terbuka dan bersikap sedia mendengar pandangan semua pihak. Saya yakin dan pasti Ustaz Azizan bukan berniat ingin menyekat kebebasan mahasiswa Insaniah bersuara tetapi sebagai pengerusi universiti pastinya Ustaz Azizan mahukan kualiti graduasi mahasiswa kolej universiti insaniah lebih pro aktif dan matang dan dalam menangani isu serta lebih idealisme.

Hidup Mahasiswa atas kebenaran!

-Copy daripada blog majlis perwakilan mahasiswa kuin-
Penulis :
Mariyam Bt Sa’ari.
Timbalan pengerusi Biro Kepimpinan dan Kerohanian,
Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah sesi 2010/2011

No comments:

Post a Comment